Wednesday 22 March 2017

6 Perkara Penting Sebelum Beli Rumah Second Hand..


Beli rumah second hand (subsale) tak sama risiko seperti membeli rumah undercon dan lelong.

Tapi, sekiranya hartanah tersebut sebagai pelaburan, subsale memang antara pilihan yang terbaik. Kerana maklumat dan data mengenai hartanah tersebut boleh dikaji dan diperolehi.

Dalam pembelian sesuatu rumah second hand, selain daripada harga, reka bentuk (design) dan lokasi, ada perkara lebih penting untuk kita kaji.

Kaji 6 perkara ni sebelum beli mana-mana rumah second hand:

#1: Pemilik sebenar rumah yang ingin dibeli.

Penting untuk kita mengetahui siapa pemilik berdaftar untuk rumah yang ingin dibeli.

Orang yang jual rumah tidak semestinya pemilik yang sah. Terdapat kes dimana pemilik berdaftar sesebuah rumah tidak mengetahui rumahnya dijual orang lain tanpa kebenaran beliau.

Sebab tu, penting untuk kita pastikan siapa sebenar pemilik berdaftar rumah tu sebelum membeli mana-mana rumah subsale.

#2: Syarat nyata yang ada dalam geran.

Syarat nyata ini merujuk kepada syarat yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri terhadap sesuatu rumah yang didirikan di atas tanah tu.

Contohnya, dalam hak milik (geran) rumah tu dengan jelas nyatakan:


“TANAH INI HENDAKLAH DIGUNAKAN UNTUK SATU UNIT RUMAH TERES SETINGKAT SAHAJA”


Ini bermakna rumah tu hanya boleh didiami sebagai satu rumah teres setingkat saja.

Pemilik berdaftar tak boleh sewenang-wenangnya buat ubah suai rumah daripada rumah teres setingkat menjadi rumah teres 2 tingkat, sebab ia bertentangan dengan syarat nyata rumah tersebut.

Sebagai pembeli, penting untuk kita tau jenis dan keadaan fizikal rumah yang dibeli, mestilah mengikut apa yang telah ditetapkan dalam syarat nyata di dalam geran rumah tu.

Kalau korang tengok rumah tu 2 tingkat secara fizikalnya, tapi dalam geran hanya mensyaratkan ia mestilah setingkat saja, lebih elok tak beli rumah tu.

Ini sebab takut akan ada kesan perundangan di kemudian hari.

#3: Menyemak sekatan yang dikenakan. 

Biasanya sekatan kepentingan ini di tulis seperti:


“TANAH INI TIDAK BOLEH DIPINDAHMILIK, DIPAJAK ATAU DIGADAI MELAINKAN SETELAH MENDAPAT KEBENARAN BERTULIS DARIPADA PIHAK BERKUASA NEGERI


Kalau rumah yang nak beli ada syarat ini, sebelum pindah milik boleh dibuat daripada nama pemilik berdaftar kepada nama pembeli, pemilik berdaftar hendaklah mendapatkan kebenaran bertulis (consent) terlebih dahulu daripada Pihak Berkuasa Negeri.

Pihak Berkuasa Negeri merujuk kepada Menteri Besar, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) atau Pejabat Tanah Daerah atau Pejabat Tanah dan Galian Negeri (mengikut mana-mana bidang kuasa yang telah diturunkan oleh kerajaan sesuatu negeri).

#4: Hak Milik Orang Melayu


Semak dahulu sama ada rumah tersebut termasuk dalam kategori Rezab Melayu atau bukan.

Kalau termasuk dalam kategori Rezab Melayu, maka ianya ditulis di dalam geran sebagai:

“DALAM KAWASAN REZAB MELAYU”

Kalau ada dinyatakan seperti di ini, hanya orang Melayu saja yang boleh membeli rumah tersebut.

Kalau tidak dinyatakan di dalam geran yang rumah tersebut termasuk dalam kawasan Rezab Melayu, maka ianya dianggap sebagai Hakmilik Pegangan Bebas (Freehold). Bermakna, semua bangsa boleh membeli rumah tersebut.

#5: Mana satu yang betul – Bank punya atau tuan rumah punya?


Kita juga kena tahu sama ada pemilik berdaftar rumah tu masih mempunyai pinjaman dengan bank atau tak?

Atau dalam erti kata lain, adakah rumah tu masih digadai kepada bank atau tak?

Kalau rumah tu masih bank yang punya, untuk membolehkan pindah milik dibuat daripada pemilik berdaftar kepada pembeli, gadaian itu perlu dilepaskan terlebih dulu dengan cara menebus hutang pinjaman yang dibuat.


#6: Menyemak Kaveat Hartanah?


Penting untuk korang tau sama ada rumah yang nak dibeli tu, ada kaveat di atas hak miliknya atau tak.

Kaveat adalah satu jenis sekatan yang menghalang sesuatu urusniaga dilakukan terhadap hak milik rumah tersebut.

Kalau ada kaveat ke atas hak milik (geran) rumah tu, maka proses pindah milik rumah tersebut daripada nama pemilik berdaftar kepada nama pembeli tak akan dapat dibuat.

Melainkan kaveat tersebut ditarik balik oleh orang yang buat kaveat tu, atau dibatalkan oleh Pejabat Tanah.

Sebab tu, penting untuk pastikan rumah yang kita nak beli tu bebas daripada sebarang kaveat. Sekiranya ada kaveat, perlu dibatalkan kaveat tersebut oleh pihak yang memasukkan kaveat sebelum proses jual beli dilakukan.

Macam mana nak tau ada kaveat atau tidak?

Biasanya, penjual tiada maklumat ini daripada pemilik rumah yang nak jual rumah mereka. Anda boleh minta salinan geran tersebut daripada penjual dan menyemak status hartanah di pejabat tanah dengan membuat carian persendirian untuk mendapatkan maklumat mengenai hartanah tersebut.


Sumber: http://gilahartanah.com/



Share:

0 comments:

Post a Comment

Followers

Kenali Abam

Yazid Ahmat merupakan seorang perunding hartanah di Johor Bahru. Sebarang petanyaan boleh menghubungi talian 013-7974774 E-mail : yazid.zeema@gmail.com.

Pesanan Abam

Beli rumah awal, jangan tunggu waktu senja usia.
Modal bukan dalam bentuk wang sahaja, masa juga modal utama sebenarnya.


Powered by Blogger.

Mari Melawat Kami

Search This Blog

PENYEWA MISTERI

Rumah Untuk Dijual

Rumah Untuk Dijual